--------------------------------------------------------------------------
|
Petikan dari utusan(15/07/2002)
Anda Tanya Doktor Jawab
Persediaan bersalin anak sulung
SOALAN:
SAYA seorang ibu muda yang sedang hamil buat kali pertama. Oleh sebab
kami tiada pengalaman menghadapi kelahiran bayi ini, saya rasa amat risau.
Bolehkah puan doktor menerangkan tanda-tanda kelahiran supaya kami lebih
bersedia untuk menghadapi saat itu dan bila sepatutnya kami ke hospital
untuk melahirkan bayi kami ini?
Ibu Musykil
Pahang
JAWAPAN:
Perasaan risau dan resah adalah menjadi perkara biasa bagi seseorang
ibu yang sedang menunggu saat kelahiran bayinya, terutama bagi ibu yang
akan melahirkan bayi yang pertama. Ramai di antara ibu juga mengalami kesukaran
untuk tidur pada saat sebegini. Sokongan suami dan keluarga amatlah penting
pada ketika ini.
Untuk mengelak daripada kekecohan apabila tanda-tanda kelahiran muncul,
puan dinasihatkan untuk membuat persediaan awal bagi beg dan barang keperluan
puan ketika di hospital. Barang-barang untuk diri puan (baju, kain, tuala,
berus gigi) dan juga untuk bayi puan perlu dikemas dan disediakan dua atau
tiga minggu sebelum tarikh jangkaan kelahiran bayi puan.
Apabila masa semakin hampir dengan tarikh kelahiran, beberapa tanda
boleh muncul yang menunjukkan kelahiran akan berlaku. Puan perlu tahu perkara
ini supaya langkah yang tepat dapat diambil tanpa ‘panik‘.
Pada akhir tempoh kandungan, kekerasan perut rahim semakin kerap berlaku.
Kekerasan ini berlaku tanpa diiringi dengan kesakitan. Keadaan ini dipanggil
"Braxton Hicks contraction".
Beberapa tanda yang mungkin berlaku apabila proses kelahiran bermula
adalah seperti berikut:
1. Show atau tanda: Keadaan ini berlaku apabila terdapat mukus (lendir)
yang bercampur dengan darah di faraj. Pengeluaran mukus yang berdarah ini
menunjukkan lubang serviks sudah mula terbuka yang menyebabkan mukus ini
terkeluar. Tanda ini adalah yang paling awal (pertama) lazim berlaku.
2. Pecah air ketuban - Tekanan disebabkan oleh pengecutan (kontraksi)
rahim menyebabkan pembocoran selaput karung bayi. Air ketuban tidak mempunyai
warna tetapi berbau hanyir berbanding dengan air kencing yang berwarna
kuning dan berbau hancing. Air ketuban ini keluar melalui lubang kebocoran
dengan cara lelehan sedikit demi sedikit ataupun secara tumpahan air yang
banyak. Air ketuban yang berwarna hijau menunjukkan bahawa bayi sudah pun
membuang najisnya sebelum dilahirkan. Pembuangan najis (meconium) ini mungkin
disebabkan oleh bayi yang lemas atau bayi yang terlebih matang.
3. Kesakitan di bahagian perut dan belakang seperti senggugut (tetapi
kesakitan ini lebih teruk daripada senggugut). Kesakitan ini akan datang
secara berkala. Kekerapan kesakitan akan berlaku sekurang-kurangnya setiap
10 minit. Tempoh kesakitan pula berlaku selama 20 hingga 40 saat. Apabila
proses kelahiran sebenar tiba, kekerapan kesakitan semakin rapat iaitu
setiap dua atau tiga minit sekali dan tahap kesakitan bertambah kuat. Puan
perlu membuat persediaan untuk ke hospital apabila kesakitan kerap berlaku
iaitu setiap lima dan 15 minit dan kesakitan ini tidak hilang apabila puan
cuba berehat atau berjalan-jalan. Jangan panik kerana proses bersalin memakan
masa yang agak panjang terutamanya bagi ibu yang akan melahirkan anak yang
pertama (lazimnya lapan hingga 12 jam). Tanda-tanda ini tidak semestinya
datang secara turutan seperti di atas tetapi salah satu mungkin datang
terlebih dulu atau mereka muncul secara serentak.
Apabila puan mengalami tanda-tanda di atas, puan dinasihatkan tidak
memakan makanan sebelum puan ke hospital. Keadaan ini penting kerana makanan
yang dimakan sewaktu kesakitan dalam proses bersalin tidak dihadamkan dan
tidak diserapkan. Proses penghadaman dan penyerapan makanan berlaku dengan
lambat sekali apabila seseorang berada dalam kesakitan proses bersalin.
Ada juga salah faham mengenai cara mendapat tenaga untuk meneran apabila
seseorang ibu itu makan sewaktu sakit untuk bersalin. Pemakanan yang tidak
hadam boleh membahayakan ibu jika kelahiran dibuat secara pembedahan atau
ada komplikasi yang memerlukan pembiusan umum (general anaesthesia).
|