Make your own free website on Tripod.com
 
MENJANA KEHEBATAN DIRI DALAM PERGAULAN 

Oleh Dato' Dr Hj Mohd Fadzilah Kamsah 

Jangan Ada Benci Di Hati 

Ramai juga orang yang gagal dalam pergaulan kerana menyimpan perasaan BENCI 
dalam hati mereka. Tuhan itu maha adil. Perasaan benci dalam diri kita akan 
menyebabkan ramai orang mudah benci terhadap kita. Misalnya, orang yang 
membenci ibu bapanya mungkin akan dibenci oleh rakan-rakannya. Orang yang 
membenci jirannya atau bekas kekasihnya mungkin akan dapat kebencian 
daripada rakan sekerjanya atau malahan ketua jabatannya. 

Justeru hapuskanlah segala perasaan benci daripada hati kita agar kita mudah 
menjalin hubungan dengan orang lain. 

Kaedah Mengikis Benci 

Cara yang terbaik untuk mengikis benci ialah dengan memaafkan semua orang 
sebelum tidur malam. Jika setiap malam sebelum tidur kita sentiasa mencuci 
muka, memberus gigi, membersihkan diri dan mengibas tempat tidur, tidak 
bolehkah kita mencuci hati kita dengan memaafkan semua orang sebelum tidur? 
Pengalaman secara peribadi penulis menunjukkan bahawa dengan memaafkan semua 
orang sebelum tidur, kita akan dapat membersihkan hati serta menenangkan 
fikiran dan mudah menjalin hubungan baik dengan orang lain. 

Faktor-faktor Yang Boleh Merangsang Kehebatan Dalam Pergaulan 

Antara faktor yang menyebabkan kita mudah berinteraksi dengan orang lain dan 
orang lain mudah tertarik kepada kita ialah: 

1) Jaga solat dan lakukan ibadah-ibadah khusus dan umum yang lain. 

2) Sentiasa bersangka baik terhadap semua orang (walaupun kita perlu 
berwaspada setiap masa). 

3) Sentiasa memberikan senyuman ikhlas kepada orang di sekeliling kita. 

4) Banyakkan bersedekah, samada dalam bentuk wang, senyuman, bantuan tenaga, 
masa, nasihat, idea, pandangan, sokongan moral dan doa yang berterusan. 

5) Sentiasa memperbanyakkan sabar. Nabi s. a. w. pernah berpesan supaya 
mencari 144 sebab sebelum kita memarahi orang. 

6) Sentiasa ceria apabila berjumpa dengan orang lain. Pastikan setiap orang 
seronok berinteraksi dengan kita. 

7) Pamerkan perasaan sayang dan sentiasa sayang -menyayangi antara satu 
dengan yang lain. 

8) Bentuk dan pamerkan sahsiah yang positif setiap masa. Peribadi yang 
kurang sopan akan menyebabkan orang lain rasa mual terhadap kita. 

9) Amalkan sunnah-sunnah harian setiap masa dan insyaAllah orang lain akan 
tertarik kepada kita. 

10) Jika wujud sebarang perasaan sombong atau benci terhadap orang lain, 
terus ingatkan diri kita tentang mati. Kita mudah insaf dan balik ke pangkal 
jalan apabila mengingati mati. 

11) Sentiasa syukur dan redha atas pemberian Allah swt. 

12) Sentiasa memberi salam dan ucap selamat kepada orang lain. Pemberian 
salam akan mengukuhkan hubungan sesama manusia. 

13) Pamerkan simpati kepada setiap individu-individu yang memerlukan simpati 
dan perhatian. 

14) Jadilah pendengar dan kawan yang setia. 

15) Sampaikan berita baik tentang orang lain dan sembunyikan kelemahan atau 
keburukan orang lain. 

16) Sentiasalah bermaaf-maafan sebelum berpisah dengan seseorang dan iringi 
perpisahan dengan doa. 

Terlebih Dahulu Baiki Diri 

Untuk menarik perhatian orang lain terhadap diri kita, kita perlu terlebih 
dahulu menyayangi dan memperbaiki diri kita. Orang yang mengasihi dirinya 
tidak akan melakukan sebarang kegiatan yang boleh men-sabotaj dan merosakkan 
dirinya. Setiap tindak-tanduknya akan dilakukan secara berhikmah dan 
sentiasa memikirkan perasaan orang 
lain. Ingatlah pesanan seorang sarjana: 

"Orang tidak kisah setakat mana yang anda tahu (berilmu), sehinggalah 
mereka tahu yang anda kisah terhadap mereka "